Rabu, 10 Februari 2010

TENTANG ANAK DERHAKA

Anak-anak sekarang sangat mudah terjebak kepada jadi anak derhaka, yang bererti anak tidak ingat lagi kepada ibubapa.
Prof K tinggal di banglo mewah Bukit Antarabangsa. Dia anak yang baik. Tidak pernah derhaka. Tapi kerana sedikit sebuk, Prof K terlupa telefon ibunya
Satu malam ibunya telefon. Ibunya hanya bertanya, adakah dia sihat, adakah isteri sihat, adakah cucu-cucunya sihat. Jawab Prof K, semunya dalam keadaan baik.
Si ibu menyatakan, bukan apa yang dia telefon cuba takut anak cucu sakit demam kerana LAMA TAK TELEFON.
Kerana lama tak telefon bererti anak sudah ada jarak waktu melupakan ibu sedangkan ibu tidak pernah lupakan anak.
Melupakan ibu, walaupun dalam jarak yang singkat, bukankah itu derhaka namanya?
Ya Tuhan....sesungguhnya sangat ramai anak yang derhaka ibubapa.
DIPETIK DARI.....
Kuliah/ceramah Ustaz Sidek Noor (Haji) di Masjid Junjung, Kulim pada Selasa malam (9hb Feb 2010)

Selasa, 9 Februari 2010

Karya Terbaru Azizi Hj Abdullah
'Memoir Seorang Guru diwarnai dengan pelbagai gejolak rasa yang menyentuh perasaan. Padat dengan mesej yang tersirat untuk dijadikan renungan bersama'.

Membaca 'Memoir Seorang Guru' novel terbaru Azizi Hj Abdullah, terbitan Alaf21, anda akan merasa kebencian disebalik kedegilan murid. Anda akan merasa keras hati seorang guru disebalik lemah lembut muridnya.

Anda akan merasa kata-kata keras, di sebalik kemanjaan murid. Anda akan menemui kekasaran di sebalik lemah lembut murid. Tetapi diakhirnya anda akan temui dialah yang memiliki kasih sayang melalui doa dan harapan, sehingga anda akan mengalir air mata dan berkata; begitukah guru kami.

Disyorkan, semua bekas murid penulis novel ini memiliki dan membacanya kerana di situ terhimpun kasih sayangnya dan kejayaan murid-muridnya dalam bidang kerani, jururawat, doktor, peniaga, penternak, petani, peguam, majestrit dan korporat.Itulah doa dan jasa seorang guru. Anda akan membaca pada akhir novel ini bersama lelehan air mata kerana bangga.
Novel yang MESTI dibaca oleh semua guru dan bakal guru. Novel yang berkisarkan pengalaman seorang ustaz yang berperang dengan perasaan semasa bertugas menjadi guru.Kekeliruan dengan keikhlasan dengan tugas beliau ,samada beliau seorang pendidik atau seorang guru yang makan gaji.
Ustaz juga mengutarakan isu keberkatan hasil gaji yang di perolehi.Isu ini cuma dalam bentuk kiasan dan masih boleh diterjemahkan oleh perbaca.

Isu KEBERKATAN ini membuka minda saya untuk terus memusahabah diri.Menilai balik hasil kerja saya adakah ianya baik dan berkesan.Tanggungjawap yang diamanahkan oleh majikan,adakah saya melaksanakan dengan jujur dan amanah?

Bila cukup bulan,semua hasil titik peluh saya dimasukkan kedalam akuan bank saya sebagai wang gaji atau imbuhan kerja.Pada majikan,itu imbuhan kepada nilai sebuah amanah dan kejujuran.

Bila amati dengan lebih mendalam lagi,saya bertanya pada diri?Jenis akuan bank yang saya miliki.Oh akuan perbankan Islam.Lapang dada seketika.

Bila saya menhalusi dengan lebih teliti lagi bank yang saya gunakan itu ada unsur ISLAM DAN RIBA.Persoalannya beranikah saya meminum air yang bersih tetapi dicampur dengan sesudu RACUN?Ibarat kata orang tua-tua,kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

Alias,Midun,Sakinah dan Abdul Halim apakah mereka ini didik untuk orang yang berjaya?Bukankah mereka dididik untuk mengisi jawatan tinggi?Atau mereka ini akan jadi bekas murid yang berhemah tinggi.Atau jadi seperti anak-anak saudaraku yang bapanya berjawatan tinggi tapi rendah peribadi?

Pertemuan ustaz dan bekas muridnya yang selalu diilusi semua ditempat yang mulia.Murid yang dulunya memanggil ustaz dengan "ucetad" kini megah bersolat atas keterbukaan ustas.Alias,Midun dan Sakinah di tempat yang telah banyak berjasa pada nyawa dan kesihatan manusia.Pertemuan dengan Abdul Halim pada petang Sabtu di Masjid Kulim menjadi kesinambungan jalan cerita selanjutnya.

Harapan ustaz agar ILMU yang diturunnya berkat.Setiap muridnya diharapkan menjadi umat yang berguna pada Agama dan negara.Tak dinafikan ada juga segelintir menjadi sebaliknya.

Seorang bapa yang takut Kamariah mengalami stress sepertinya.Bapa yang mengharap Kamariah faham niat bapa.Bukan kerja guru itu tidak baik,tapi mampukah Kama menghadapinya dengan tabah.

Ustaz.....dari 1975~1980 bukan seperti novel itu.Ustaz yang menjawap "saya punya suka la.itu novel saya"bila aku bertanya pada tahun 1985,"kenapa mematikan watak Tuk Ya dengan kematiannya?"Jawapan ustaz disambut gelak ketawa.Aku berbangga kerana itulah ustazku yang selalu berjenaka.

Buat bekas murid yang mengenali ustaz,anda turut akan berilusi sekiranya membaca novel ini.Novel yang penuh dengan emosi dan perlu dihayati dengan keilmuan.Novel yang bersekitar di Daerah Kulim,akan membawa kita mengimbau kenangan dizaman persekolahan.

Kepada bakal guru dan semua pembaca,novel ini adalah "HEAVY DRAMA" yang terbaik dari USTAZ AZIZI HJ ABDULLAH.

Ahad, 31 Januari 2010

Guru kian terancam

CUKUP menyedihkan apabila dalam tempoh dua minggu kita disajikan dengan dua berita yang memalukan institusi perguruan di mana guru ditampar pelajar dan ibu pelajar. Kejadian pertama di sekolah menengah di Nibong Tebal apabila pelajar berusia 16 tahun menampar pipi guru berusia 28 tahun.

Insiden itu dilaporkan berpunca daripada tindakan pelajar terbabit bersama dua rakannya memasuki sebuah kelas yang sedang diajar oleh guru wanita berkenaan di mana didapati ketiga-tiga pelajar ini tanpa menghormati guru berkenaan dan mempedulikan pelajar lain, membuat bising sebelum guru terbabit mengarahkan mereka keluar dari kelasnya.


Guru terbabit menampar pipi seorang pelajar berkenaan apabila mereka tidak mengendahkan arahan itu dan akibatnya seorang pelajar terbabit membalas balik tamparan guru itu. Malah lebih menakutkan apabila dilaporkan seorang daripada pelajar itu cuba bertindak lebih ganas dengan membaling kerusi plastik ke arah guru berkenaan.


Dalam insiden terbaru pula, dilaporkan seorang guru lelaki berusia 28 tahun ditampar ibu seorang pelajar yang marah dan tidak berpuas hati dengan tindakan guru menampar anak wanita itu di sebuah sekolah menengah di Perlis.


Kejadian dilaporkan berpunca daripada masalah disiplin membabitkan pelajar lelaki tingkatan satu dari sekolah berkenaan. Walaupun pihak sekolah cuba menjernihkan semula keadaan dengan mendamaikan kedua-dua pihak namun wanita berkenaan masih tidak puas hati bertindak menampar guru terbabit di hadapan pengetua dan guru lain.


Ini adalah antara dua kes yang menjadi pembuka bicara isu disiplin pelajar sekolah bagi tahun 2010. Di kala kita masih sedih dengan nasib malang yang menimpa enam pelajar dalam tragedi perahu naga karam dipukul ombak tempoh hari, kita terus dikejutkan dengan pelbagai lagi masalah membabitkan pelajar, guru dan juga sekolah.


Kita juga masih segar dengan nasib malang yang menimpa seorang lagi guru wanita pada Oktober 2008 sebuah sekolah menengah di Perlis di mana gara-gara tidak berpuas hati dengan tugasan kerja yang diberikan, dua pelajar perempuan bertindak di luar batasan apabila membelasah seorang guru wanita. Pelajar tingkatan dua terbabit dilaporkan menendang dan memukul guru mereka.


Kejadian sebegini menimbulkan beberapa persoalan yang cukup merisaukan kita semua. Apakah pelajar sebegini yang kita harapkan akan menjadi penyambung warisan negara kita? Kenapa insan mulia bernama guru dijadikan mangsa keadaan? Selama ini mungkin kita terlalu leka dengan isu membabitkan kebajikan pelajar dan ibu bapa mereka semata-mata di mana kita seolah-olah terlepas pandang masalah dan nasib yang dialami dan dilalui guru dalam mendidik anak bangsa menjadi manusia berguna.


Tidak dapat dinafikan bahawa peredaran zaman membawa kepada perubahan minda dan akhlak anak-anak zaman sekarang. Ternyata pelajar sekarang semakin sukar dilentur dan dibentuk macam generasi dulu.


Pelajar sekarang juga didapati lebih tahu serba serbi dan cepat memberontak dan bertindak balas mengikut emosi masing-masing. Akibatnya guru terpaksa melalui pelbagai dugaan baik di peringkat sekolah rendah mahupun menengah dalam memenuhi kehendak dan tuntutan pelajar dan juga ibu bapa mereka.


Ibu bapa zaman sekarang juga lebih banyak mempercayai anak-anak mereka berbanding guru di sekolah. Ini menyebabkan sering kali mereka hilang pertimbangan apabila anak-anak mereka diambil tindakan disiplin oleh pihak sekolah mahupun guru.


Inilah antara cabaran dan dugaan yang terpaksa dihadapi guru dalam mendisiplinkan anak didik mereka. Namun apa yang mengecewakan segala usaha ini tidak dinilai dengan sewajarnya apatah lagi dihargai. Guru adalah insan yang bertanggungjawab mendidik dan memimpin masyarakat. Guru banyak menyumbangkan khidmat membangunkan bangsa dan negara, lebih-lebih lagi membentuk sahsiah pelajar.


Di sekolah, guru adalah pendidik, penjaga dan bertindak sebagai ibu dan bapa kepada pelajar. Tanggungjawab guru sebenarnya cukup besar dan sangat mulia. Apa yang kita perhatikan ialah selama ini guru lebih banyak berdiam diri apabila diri mereka dikritik ataupun dimarahi ibu bapa dan mungkin sudah tiba masanya untuk guru bangun mempertahankan hak mereka dan juga memelihara dan mempertahankan kemuliaan profesion mereka.


Pada masa sama, ibu bapa juga perlu lebih rasional dan jangan terlalu emosi ataupun hanya mendengar cerita di sebelah pihak anak mereka saja.


Ibu bapa perlu melihat dari sudut positif akibat dan kesan daripada tindakan diambil guru mahupun pihak sekolah yang semata-mata untuk mendidik anak-anak mereka menjadi insan berguna di kemudian hari.


Dapat dikatakan, guru bertanggungjawab membentuk tamadun manusia melalui penyebaran ilmu. Jasa guru amat besar, begitu juga pengaruh mereka. Usahlah asyik mencari kesalahan mereka semata-mata. Sekarang amat jarang kita dengar pelajar mahupun ibu bapa mengucapkan ‘terima kasih’ kepada guru. Ini adalah satu fenomena yang cukup menyedihkan dan sepatutnya tidak berlaku dalam masyarakat kita yang begitu mementingkan gaya hidup sopan santun dan nilai-nilai murni sejagat.


Kita risau jika keadaan sebegini berterusan maka dikhuatiri ia akan sedikit sebanyak menjejaskan semangat dan motivasi guru untuk terus mendidik anak-anak kita. Sekolah mestilah menjadi tempat selamat bukan saja untuk pelajar tetapi juga untuk guru yang mendidik mereka.


Biarlah guru menjalankan tanggungjawab mereka dengan selesa dan selamat. Berikanlah kebebasan kepada mereka untuk membimbing, mendidik dan membentuk anak-anak kita seperti yang kita harapkan mengikut acuan dan ramuan betul. Tidak perlulah kita terlalu mencampuri urusan guru dan pelajar di sekolah.


Kepada guru, anda adalah insan yang sangat mulia. Ingatlah, gelaran guru akan kekal hingga ke akhir hayat dan usahlah berputus asa mahupun kecewa dengan nasib malang yang dihadapi, teruskanlah perjuangan suci demi membentuk sebuah generasi anak bangsa yang boleh menjadi pewaris kepada generasi sekarang.


Selasa, 18 Ogos 2009

RENUNGAN UNTUK SEMUA

Saat-saat gawat kini telah menjelma
sementara perakam waktu melaung-laung memberi amaran
kelihatan manusia saling berubut-rebut sesama sendiri
sebagai satu petanda mempasakan perjuangan masing-masing
dalam keasyikkan mengetuk perakam waktu
kita sebenarnya sudah terlupa buat seketika
bahawasanya waktu itu sudah dibeli.
Lihat sahaja di suatu penjuru
berbisik sesama sendiri lalu mengangguk-angguk
tanpa mempedulikan rasa berdosa dan tangan itu
mulai kehilangan amanah
Tak pernah terfikirkah mereka
penipuan seawalnya akan membawa
selautan dosa hingga ke petang???
Di suatu sudut perakam waktu menangis
apakah erti tulisan yang di ukir pada badan???
amaran yang jelas di pandang remeh
masing-masing berebut membantu
rakan merakam kedatangan
penipuan berlarutan dan akhirnya menjadi amalan
kejujuran diketepikan lalu wujudlah budaya baru
budaya penipuan
Wahai manusia katakanlah
siapa lagi bakal menolong mencatatkan
waktu-waktu sebenar di sana
selain daripada pencatat amalan kiri dan kananmu????

SATU SAAT, SATU DETIK

Satu saat satu detik...
Akan berlaku satu perkara...
Engkau kira lamanya...
Dari awal hingga akhirnya...

Ahad, 3 Mei 2009

MENGENAI SAYA




AHMAD ELYSAL


Berasal dari Kota Bharu, Kelantan.

Mula berkhidmat sebagai guru pada tahun 2004 di SK Sg Serai, Hulu Langat. Sekarang mengajar di SK USJ 20, Subang Jaya.

Jumaat, 17 April 2009

GURINDAM MALAGNYA BAHASAKU

Bahasa orang dipuja dipuji
bahasa sendiri dicerca dikeji.

dihormati
bahasa sendiri dibiar mati.

Bahasa orang dinilai dihargai
bahasa sendiri diabai dibenci.

Bahasa orang diyakini
bahasa sendiri disangsi.

Bahasa orang dianggap berguna
bahasa sendiri dipandang hina.

Bahasa orang dinobat dipelihara
bahasa sendiri disekat didera.

Bahasa orang dijunjung dijulang
bahasa sendiri dirundung malang.

Bahasa orang digilap gemilang
bahasa sendiri malap dan hilang.